Mesej Dari Pengetua —— Menangkap Visi

Dua minggu selepas mulai bertugas sebagai Pengetua, rakan sepelayanan dari jabatan Komunikasi meminta saya untuk mengongsikan visi saya tentang STM.  Dengan peLajaran bernilai dari Tuhan sepanjang dua minggu tersebut, dan dengan bantuan serta galakan daripada rakan sekerja di STM, saya berusaha untuk menjangkau dan menangkap visi berikut:

Bahawa STM akan menjadi tempat di mana komunitinya—termasuk fakulti, staf, dan pelajar—akan bertumbuh menuju kematangan rohani, serta mencapai keseluruhan sepenuhnya dalam Kristus (Ef. 4: 12-13 ; Ibr.6: 1).

Bahawa STM akan menjadi institusi kerjasama yang berkesan di mana semua gereja anggota bekerjasama dengan lebih erat melalui rangka kerja perundingan di antara ahli-ahli Majlis untuk melatih dan meperlengkapkan para pemimpin Kristian dan pekerja sepenuh masa (1 Kor. 12: 12-13; Yohanes 17: 20-23).

Bahawa STM akan menjadi teladan bagi persekutuan Kristian yang mengasihi, rendah hati, baik hati dan saling mengampuni dalam kalangan komuniti fakulti, staf dan pelajarnya, sehingga komuniti ini menjadi saluran berkat kepada gereja, komuniti Kristian, masyarakat dan bangsa (Kisah Para Rasul 2: 42-47; Flp 2: 1-8; 2 Ptr. 2: 13-17).

Bahawa STM akan menjadi pusat kecemerlangan akademik dan pelayanan, dan dalam hal runding nasihat dalam bidang kajian Alkitabiah, teologi, agama dan masyarakat, dan pelayanan praktikal dan pastoral—melalui program pengajiannya di pelbagai peringkat dan pusat pelayanan khusus seperti Pusat Penglibatan Alkitab, Pusat Misi dan Penginjilan, Pusat Kerohanian Kristian dan Pusat Agama dan Masyarakat—di Malaysia, rantau Asia, dan juga ke seluruh dunia (Dan . 1:17; Kisah 17:11; 1 Ptr. 3:15).

Semoga Firman Tuhan menjadi asas yang kukuh kepada semua pelayanan di STM; semoga kasih kurnia Allah beserta semua yang melayani-Nya di sini, mempersiapkan generasi demi generasi fakulti yang berpengetahuan dan setia yang dipimpin oleh Ketua Pelayan yang dipilih-Nya; semoga suara Tuhan didengar oleh para pentadbir yang telah Dia tetapkan untuk tujuan-Nya untuk memimpin institusi ini; dan semoga kemuliaan Tuhan bersinar dari tempat ini dan menerangi semua kegelapan di kawasan sekitar dan seterusnya.

Apabila Dia kembali kelak, semoga semua yang menyebut diri mereka sebahagian dari komuniti STM berdiri teguh, bangga dan bergembira menerima Penyelamat dan Raja kita, dan bersama-sama melayani Dia untuk selama-lamanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *