Mesej Dari Pengetua: Hadiah Krismas
Mesej Dari Pengetua: Hadiah Krismas
Dr Chong Siaw Fung
. . . Mereka pun sujud menyembah Anak itu, lalu membuka harta benda mereka dan mempersembahkan emas, dupa dan mur kepada-Nya. (Mat 2:11)
Bagi dunia masa kini yang mengutamakan nilai komersial dan kebendaan, Krismas sentiasa dikaitkan dengan pertukaran hadiah dalam suasana perayaan akhir tahun. Ini mungkin tidak berlaku dikalangan orang di Asia, tetapi budaya popular sambutan hari Krismas sudah menjadikannya meriah sama seperti musim perayaan tempatan. Pemikiran tentang hadiah Krismas mengingatkan kita tentang Yesus, Anak Tuhan, sebagai anugerah terbesar bagi umat manusia dan seluruh Penciptaan—terang dalam kegelapan, pengharapan untuk hidup yang kekal, penyelamatan daripada kejahilan dosa, saluran pendamaian dengan Tuhan. Justru, cara berfikir yang betul tentang hadiah Krismas ialah: Apakah hadiah saya kepada Tuhan pada musim Krismas ini? Jika Tuhan sudi memberikan saya Anak-Nya dan menganugerahkan kepada saya semua berkat rohani dalam Kristus Yesus (Ef. 1:3), apakah yang boleh saya persembahkan kepada-Nya?
Orang Majus dari Timur mengetahui dengan jelas tentang siapa Yesus. Mereka telah lama mengembara dan jauh dari kampung halaman untuk menyembah Dia yang dilahirkan untuk menjadi Raja dan Penyelamat dunia. Mereka membawa hadiah yang penuh bermakna—emas sebagai penghormatan kepada Raja, dupa untuk penyembahan Tuhan, dan mur sebagai persiapan penguburan Tuhan Penyelamat yang akan mati untuk menebus dosa. Demikianlah pemahaman umum kita terhadap maksud persembahan orang Majus.
Tetapi kita bukan orang bijaksana seperti orang Majus yang kaya raya atau kerabat diraja yang mulia. Apakah yang boleh kita persembahkan sebagai hadiah kepada Tuhan Yang Mahakuasa dan Raja alam semesta? Itulah yang dikatakan
oleh budak pemain gendang Harun dalam babak terakhir filem animasi klasik 1968 yang berjudul The Little Drummer Boy. Apabila ia didesak oleh orang Majus untuk mendekati bayi Yesus yang sedang berbaring di dalam palungan (sebenarnya orang Majus tiba di Betlehem beberapa bulan selepas kelahiran Yesus disebabkan oleh perjalanan yang jauh; tetapi tidak mengapalah, ini cerita rekaan sahaja), ia memberitahu orang Majus dengan segan: “Tetapi saya tidak ada hadiah (yang cukup baik untuk baginda Raja) . . .” Adegan seterusnya adalah kemuncak filem itu. Lagu tema (sebuah lagu carol Krismas popular) mula didendangkan sebagai latar belakang, dan Harun memainkan gendangnya dengan sepenuh tenaganya—hadiahnya kepada baginda Raja. Lirik lagu itu berbunyi: “Hamba budak miskin juga, tidak membawa hadiah istimewa buat Raja. Bolehkah hamba memainkan gendang hamba untukmu, wahai tuanku?”
Pada hari Krismas tahun ini, mainkanlah gendang anda (atau apa sahaja) untuk Tuhan dengan sepenuh hati anda, dan biarlah Krismas—iaitu Krismas sebenar—berlaku di dalam hati anda.