Mesej Dari Pengetua – Perihal Hidup Dan Mati

PERIHAL HIDUP DAN MATI

Dr Chong Siaw Fung

Dengarlah, aku memberitahumu suatu rahsia: Tidak kita semua akan mati, tetapi semua akan diubah serta-merta, dalam sekelip mata, ketika berbunyinya sangkakala yang terakhir. Pada saat itu orang mati akan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan, dan kita yang masih hidup akan diubah.  (1 Kor. 15:51-52)

 Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya. (Rm. 6:5)

Bagi manusia, hidup dan mati adalah perkara yang serius.  Semasa hidup, kita semua berharap dapat hidup dengan penuh bermakna dan bermanfaat.  Tidak kisah apa pun kepercayaan kita, apabila menghadapi kematian, kita semua berharap dapat menemui sesuatu perhentian kesejahteraan di seberang sana.   Malah mereka yang tidak mempunyai kepercayaan agama pun akan cuba mencari ketenangan rohani atau ketenteraman jiwa pada peringkat terakhir dalam hidup mereka.

Bagi orang Kristian sepanjang zaman, pengajaran Paulus tentang kebangkitan tubuh pastinya suatu hal yang baik. Bagi semua orang yang percaya kepada-Nya, kebangkitan Yesus Kristus adalah jaminan untuk pengharapan kebangkitan tubuh dan kehidupan yang kekal. Kita tidak perlu takut akan kematian.  Menurut pengajaran Paulus dan para Rasul dalam PB, kematian itu adalah seperti “tidur” sahaja.   Apabila kita bangun dari “tidur,” hidup kekal bersama Tuhan akan bermula.

Hakikatnya: pengalaman eskatologi para pengikut Yesus sebenarnya bermula semasa hidup mereka di bumi.  Dalam pengertian rohani, apabila seseorang menyerahkan hidupnya kepada Kristus, ia seakan-akan mati kepada dosa kerana mereka bersatu dengan kematian Kristus dan terus menjalani hidup yang baru bagaikan insan baru yang telah bangkit bersama Kristus daripada kematian.  Hidup kita dengan Kristus di bumi mencerminkan kesatuan kita dengan Kristus semasa kita menantikan kebahagiaan abadi dalam hidup kekal yang akan datang.

Inilah mungkin sebabnya mengapa sesetengah orang Kristian dapat menghadapi kematian dengan sikap yang tenang dan gembira.  Kematian bukan sekadar meninggalkan, tetapi lebih menyerupai “kepulangan.”  Minggu terakhir bulan Februari tahun ini merupakan minggu yang menyedihkan bagi STM, kerana dua orang ahli Majlis kami telah meninggal.  Saya berasa sedih kerana saya tidak pernah berpeluang bertemu dengan mereka berdua secara peribadi kerana keadaan pandemik sepanjang tahun lepas, tetapi saya merasa lega dan pasti bahawa kita akan bertemu lagi apabila Tuhan kembali dengan dengan kemuliaan-Nya.  Ir Marcus N. Sundram dan Mdm Celina May Benjamin, kami akan merindui anda berdua.  Sesungguhnya, kepada kami semua, anda berdua adalah contoh-contoh insan baru yang hidup bersama Kristus yang telah bangkit daripada kematian.