MATI UNTUK HIDUP
Melalui baptisan itu, kita dikuburkan dengan Dia dan ikut mati bersama-Nya. Demikian juga, sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian melalui Kemuliaan Allah Bapa, kita juga dapat menikmati kehidupan yang baru. (Roma 6:4)
Hari Paskah Kebangkitan sering dirayakan dengan penuh kegembiraan. Ini memang wajar kerana ia adalah hari yang penuh bermakna. Pada hari itu , kita merayakan kemenangan Kristus atas kematian, kerana ia membawa pengharapan untuk hidup yang kekal. Tetapi kita harus ingat bahawa sebelum Hari Paskah Kebangkitan, terdapat Hari Jumaat Agung iaitu hari di mana kita merenungi penderitaan dan kematian Kristus di kayu salib. Kemenangan dicapai dengan pengorbanan yang besar—Anak Tuhan telah menderita dan mati untuk kita. Melalui kematian-Nya, Kristus menebus kita daripada dosa. Melalui kebangkitan-Nya, Kristus memberi kita pengharapan untuk hidup yang kekal. Melalui iman dalam Kristus, kita dijamin akan memperolehi rahmat dan belas kasihan Tuhan untuk pendamaian, penebusan, dan penyelamatan selama-lamanya. Kita sebenarnya mati secara rohani dalam dosa. Namun Kristus telah memberikan hidup kepada kita melalui kematian dan kebangkitan-Nya.
Rasul Paulus mendapat pemahaman yang lebih mendalam. Dalam surat-suratnya, Paulus merenungkan makna kematian dan kebangkitan Kristus dalam hidup baru bagi orang Kristian. Roma 6:4 menggambarkan bagaimana kita telah menempuh perjalanan dari mati kepada hidup melalui iman dalam Kristus. Paulus memerihalkan saat ketika kita menyerahkan hidup kita kepada Kristus (melalui baptisan) itu sebagai dikuburkan bersama Kristus dalam kematian. Apabila kita menyerahkan hidup kita kepada-Nya, masa lampau kita yang penuh berdosa seharusnya sudah mati. Sebenarnya, dosa dan nafsu kita sepatutnya telah dikuburkan bersama kematian Kristus. Hidup baru kita yang kita jalani dalam Kristus sepatutnya hidup yang dikurniakan kepada kita oleh Kristus yang telah bangkit dari kematian.
Kristus telah mati dan Kristus bangkit dari kematian. Melalui iman dalam Kristus, kita harus mati terhadap dosa dan nafsu kita dan menjalani hidup baru yang dibangkitkan secara rohani oleh Kristus untuk kita. “Mati kepada dosa dan hidup dalam Kristus”—biarlah pernyataan ini menjadi slogan kesedaran peribadi kita tentang makna Hari Paskah Kebangkitan.
/Pengetua: Dr. Chong Siaw Fung