Melayani dan Diberkati

Lawatan Misi STM ke Makassar dan Tana Toraja, Sulawesi

Rebecca Bujang | Tahun 1 -DipCM

Segala puji dan syukur kepada Tuhan atas penyertaan dan perlindungan-Nya sepanjang perjalanan kami ke Makssar dan Tana Toraja, yang diketuai oleh Dss Dr Tan Swee Bee, pensyarah STM. Pada hari Jumaat, 10 Mei 2024, bermulalah perjalanan kami ke Makassar, puji Tuhan kami tiba disana dengan selamat dan disambut oleh cik Kasanova dari Gereja Makassar City Blessing. Kami menginap selama 5 hari di Yayasan Cipta Generasi Baru iaitu penginapan yang mereka sediakan untuk kami.  Perjalanan ke sana dari bandar Makassar mengambil masa selama 1 jam.

Hari pertama di sana, kami dibawa berjumpa dengan beberapa orang pemimpin gereja Makassar City Blessing dari pelbagai jenis pelayanan luar. Kesaksian mereka sangat memberkati kami secara peribadi, melalui pelayanan mereka mengajar kami bagaimana untuk menjangkau jiwa-jiwa diluar sana. Selepas perjumpaan dengan mereka, pada pukul 3.00 petang kami beribadah bersama Jemaah dari Sri Lanka. Selepas itu kami juga sempat menyertai persekutuan doa syafaat Gereja Makassar City Blessing. Saya merasa teruja dan bersemangat ketika puji dan sembah serta doa syafaat mereka. Walaupun ramai diantara mereka masih sangat muda tetapi mereka begitu bersungguh-sungguh melayani Tuhan.

Hari Ahad, kami diberi peluang melayani anak-anak remaja dan dipimpin oleh Pastor Jahani dan dibantu ahli lain, begitu juga dengan pelayanan anak-anak sekolah minggu (Kings Kid) yang dipimpin oleh cik Delaila dan dibantu ahli lainnya. Saya juga turut membantu dalam pelayanan anak-anak sekolah minggu, dan saya melihat anak-anak sekolah minggu ini telah dididik dengan begitu baik sekali. Pada sebelah petang, kami berpeluang mengikut dan melayani pelayanan migrasi dan pelayanan anak-anak mereka. Sekali lagi saya diingatkan melalui ibadah migrasi disana,bahawa dimana pun kita berada, jangan lupa untuk terus mencari Tuhan.

Pada hari Isnin dan Selasa, pelayanan kami yang seterusnya di Learning Center dan Mission School. Kami belajar mengenali adat dan budaya-budaya suku mereka, kami juga terdorong dan disegarkan melalui nyayian pujian dan penyembahan serta doa syafaat mereka setiap hari. Anak-anak yang tinggal di tempat ini semuanya masih diusia yang muda, mengingatkan saya ayat Firman Tuhan yang terdapat dalam 1 Timotius 4:12, “Jangan seorang pun menganggap engkau rendah kerana engkau muda. Jadilah teladan bagi orang-orang percaya, dalam tingkah lakumu, dalam kasihmu, dalam kasihmu dalam kesetiaanmu dan dalam kesucianmu”.

Selepas 5 hari berada di Makassar, kami mulakan perjalanan ke Tana Toraja yang mengambil masa selama 12 jam. Puji Tuhan atas penyertaan-Nya kami selamat sampai di Desa Leppan. Terima kasih Pastor Henokh dan isterinya kerana menyambut kami dan membuka rumah untuk kami menginap selama 2 malam di sana.

Di Desa Leppan kami melawat rumah jemaah dari rumah ke rumah. Di sana kami mendoakan jemaah, yang sakit, yang ada masalah dan sebagainya. Kami belajar dan memerhati cara pastor Henokh melayani para jemaah. Pada sebelah petang kami melayani kanak-kanak di sana, walaupun perjalanan mereka ke gereja agak jauh dan cuaca hujan tapi mereka sanggup datang ke gereja. Selama aktiviti dan pelayanan kanak-kanak berjalan, hati saya disentuh. Anak-anak ini mengajar kami agar sentiasa rasa bersyukur dan bersukacita sentiasa. Seterusnya kebaktian malam yang dipimpin oleh ahli kami dan yang membawa firman Tuhan adalah Pastor Jahani. Sungguh kami diberkati, walaupun dalam keadaan bangunan gereja yang daif, ayat yang dikongsi adalah 1 Tesalonika 5:16-18 “Bersukacitalah senantiasa. Tetaplah berdoa. Mengucap syukurlah dalam segala hal, sebab itulah yang dikehendaki Allah di dalam Kristus Yesus bagi kamu.”

Selepas 2 malam di Desa Leppan, kami ke Desa Kanan. Di Desa Kanan, kami menginap di rumah Pastor Owen dan dia membawa kami untuk melawat jemaah di Desa Kanan. Walaupun perjalanan yang berbukit kami bersemangat dan bersyukur kerana dapat melawat mereka dan mendoakan mereka. Sebelah petang kami melayani pelayanan kanak-kanak dan waktu malam ada kebaktian yang dipimpin oleh ahli kami, dan Pastor Julidin yang menyampaikan Firman Tuhan. Ramai jemaat yang tersentuh dan mahu didoakan, puji Tuhan untuk kemuliaan-Nya.

Hari seterusnya, kebaktian Ahad di Desa Kanan dipimpin oleh ahli kami dan Pastor Fadli yang menyampaikan firman Tuhan. Selepas kebaktian, kami dijemput untuk makan tengahari bersama jemaat. Selesai makan bersama, kami bersiap untuk perjalanan balik ke Makassar kerana keesokan harinya kami akan pulang ke Malaysia. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dss Dr Tan Swee Bee kerana memberi peluang kepada kami mengikuti program misi STM ini. Saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana sepanjang pelayanan kami di Makassar, banyak mengajar kami secara peribadi, baik dalam pelayanan misi atau peluang untuk kami melayani. Saya percaya, melalui pengalaman ini, setiap kami diubah dan bersedia untuk melayani Tuhan dengan bersungguh-sungguh.