Dipelihara oleh Tuhan
Ebenezer Muniswaran A/L Nagarajan | BTh – Penuh Masa
Segala puji dan syukur berikan kepada Tuhan yang Maha Esa atas rahmat dan kasih-Nya yang tidak berkesudahan. Saya berbesar hati meraikan pencapaian ini dengan menamatkan pengajian saya dalam program Sarjana Muda Teologi (BTh) di Seminari Theoloji Malaysia (STM). Sebagai seorang pelajar dari Jabatan Bahasa Malaysia, pengalaman di seminari telah memperkayakan ilmu dan memperdalamkan pemahaman saya tentang teologi, serta memperkukuhkan iman saya.
Sepanjang berada di STM banyak perkara berharga yang saya pelajari, terutamanya disiplin diri. Selepas melibatkan diri dalam Kumpulan Pastoral, keyakinan diri saya semakin meningkat, membolehkan saya untuk menghadapi pelbagai situasi dengan tenang dan yakin. Selain itu, pengalaman belajar bersama rakan-rakan dari pelbagai kaum dan latar belakang budaya telah membuka mata saya kepada kepelbagaian dan kepentingan perpaduan. Pengalaman ini akan menjadi sebuah aset yang penting dalam pelayanan saya nanti dimana saya akan melayani jemaah yang mempunyai pelbagai latarbelakang.
Perjalanan ini bukanlah mudah ianya penuh cabaran. Pada tahun 2022, isteri saya mengalami masalah kesihatan yang serius dan memerlukan rawatan di hospital. Ketika itu, saya perlu membuat pertimbangan antara tanggungjawab menjaga anak-anak dan komitmen akademik saya. Ia merupakan sebuah ujian besar yang memerlukan kekuatan mental dan rohani. Seterusnya, pada tahun 2023, doktor mengesahkan saya menghidap penyakit tuberkulosis mata. Pada awalnya, doktor mengesyaki ia mungkin kanser mata, satu diagnosis yang amat menggusarkan. Pada waktu itu, hati saya merasa hancur, tetapi doa dan keyakinan saya kepada Tuhan memberikan kekuatan untuk menghadapi ketidakpastian ini.
Pada awal tahun 2024, saya sekali lagi diuji, apabila saya terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kerosakan teruk pada motosikal saya. Namun begitu, melalui semua cabaran yang menimpa, saya dapat melihat tangan Tuhan yang setia memimpin, serta memberikan saya kekuatan, dan melindungi saya di sepanjang jalan. Walaupun perjalanan ini penuh cabaran dan ujian yang datang, namun kasih karunia Tuhan tetap bersama saya dan Tuhan tidak pernah meninggalkan saya, malah Dia terus membimbing saya. Segala kemuliaan hanya bagi Tuhan Yesus.
Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan saya kepada semua tenaga pengajar di STM dan kawan-kawan yang setia mendoakan dan menolong semasa saya berada dalam kesusahan. Mereka adalah saluran berkat Tuhan dalam hidup saya, dan saya tidak akan melupakan kebaikan mereka yang telah membimbing dan menyokong saya sepanjang tempoh pengajian ini. Tidak dilupakan, sokongan daripada ahli keluarga dan jemaah gereja yang menjadi tulang belakang saya semasa menghadapi segala masalah dan rintangan.
Shalom dan Tuhan Memberkati!