Pengenalan Dan Sejarah
STM ditubuhkan hasil usaha kerjasama antara Anglikan, Evangelical Lutheran dan Methodist pada 6 Januari 1979. Bagi Gereja Anglikan dan Evangelical Lutheran ini adalah titik mula kerjasama antara mereka dalam pendidikan teologi di Malaysia, yang sebelum ini kerjasama antara mereka adalah termasuk Pusat Latihan Kristian (Christian Training Centre) dan Kolej Theoloji Malaysia. Sejak itu, STM masih berpegang pada visi STM dan berterima kasih kepada sumbangan-sumbangan yang telah diberikan oleh ramai Kristian ke arah pertumbuhan dan pembangunan STM.
Perjalanan penubuhan STM bermula di ELCM di Brickfields (1979-April 1983). Setelah itu, kami telah berpindah ke Methodist High School di Sentul (Jun 1983-1991) dan dari Sentul, kami berpindah ke Xavier Hall di Jalan Gasing, Petaling Jaya (1992-1997). STM telah berpindah randah selama hampir dua puluh tahun. Akhirnya, pada tahun 1998 kami berpindah ke kampus tetap kami di Seremban tepat pada masanya untuk tahun akademik yang baharu.
Sepanjang sejarah STM, kami mempunyai hampir 1500 jumlah graduan dan mereka telah melayani di seluruh Malaysia dan juga di tempat lain. Fakulti kami telah meningkatkan kelayakan dan pengalaman mereka. Kami juga gembira melihat gereja-gereja yang menyokong STM sedang mengambil langkah menyediakan tenaga pengajar yang layak untuk mengajar di seminari ini.
Pengasas STM adalah mendiang Bisyop Emeritus C.N. Fang, mendiang Bisyop E.B. Muthusami dan mendiang Bisyop Tan Sri J.G. Savarimuthu, bersama pengetua pertama, Rev. Dr. Denis C. Dutton (kini Bisyop Emeritus Gereja Methodist Malaysia dan juga merupakan seorang Datuk) telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada STM. Pada tahun 1984, adalah tahun yang menjadi satu sejarah dan peristiwa penting bagi STM iaitu, mendapat akreditasi daripada Association for Theological Education in South East Asia (ATESEA). Pada tahun 2010, STM mencapai satu lagi tahap dimana STM telah dijemput oleh ATESEA untuk berkhidmat sebagai salah satu Pusat Kecemerlangan Teologi (CTE: Centers for Theological Excellence) untuk menawarkan program Doktor Teologi.
Kami berkhidmat dan melakukan yang terbaik melalui kekerapan dalam menyemak kurikulum, kuliah dan tugasan dengan seimbang, kualiti pengalaman dalam pendidikan lapangan dan kehidupan dalam komuniti dipertingkatkan secara berterusan serta pusat sumber atau perpustakaan STM diperluaskan dan dikemas kini dari masa ke semasa. Kami juga menyatukan prosedur pentadbiran kami dan mendapatkan kemudahan asas yang diperlukan oleh komuniti seminari ini.
Asas Doktrin
Dalam kehidupan dan pengajarannya seminari ini adalah mencari dengan iman melalui kebenaran utama Iman Kristian seperti yang terkandung dalam Alkitab, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru serta merumuskan pengakuan sejarah Gereja Kristian seperti Pengakuan Iman Rasuli (Apostles’ Creed) dan Pengakuan Iman Nicea (Nicene Creed), serta doktrin Gereja Anglikan, Evangelical Lutheran dan Methodist. Kebenaran-kebenaran ini merangkumi:
- Terdapat satu Tuhan yang kekal sebagai Bapa, Anak dan Roh Kudus yang merupakan Pencipta, Penebus dan Pemelihara atas segalanya. Dia sempurna dalam kasih-Nya.
- Tuhan telah menyatakan diri-Nya kepada kita melalui Anak-Nya, Tuhan kita Yesus Kristus, Firman yang Hidup. Dia juga telah memperkenalkan diri-Nya melalui Alkitab iaitu, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Alkitab ditulis melalui ilham daripada Tuhan yang menjadi kuasa tertinggi dalam semua hal yang berkaitan dengan iman dan kelakuan.
- Kita diciptakan untuk bersekutu dengan Tuhan tetapi kerana ketidaktaatan kita telah menjadi orang berdosa di hadapan-Nya lalu terasing daripada Tuhan, diri sendiri, sesama manusia dan alam semula jadi.
- Yesus Kristus adalah Anak Tuhan yang menjadi manusia, dilahirkan oleh anak dara Maria, hidup tanpa dosa dan penuh pengorbanan, serta mati di kayu salib untuk kita sebagai korban yang sempurna untuk dosa. Melalui kematian-Nya, Dia telah menyatakan kasih Tuhan, menghapuskan dan membebaskan kita daripada dosa dan maut serta mendamaikan kita dengan Tuhan.
- Kita dibenarkan oleh kasih kurnia Tuhan melalui iman kepada Kristus yang disalibkan dan dibangkitkan dari kematian.
- Roh Kudus memimpin kita untuk bertaubat dari dosa dan percaya kepada Kristus. Dia tinggal dalam diri kita dengan memampukan kita untuk bertumbuh dalam pengetahuan dan kasih Tuhan serta memperkasakan kita dalam pelayanan misi. Melalui kemurahan-Nya, Dia memberikan kurnia yang diperlukan kepada semua orang percaya.
- Gereja merupakan tubuh Kristus yang berasal daripada Tuhan sendiri. Setiap suku dan bangsa adalah umat Tuhan yang dipanggil untuk menyahut panggilan-Nya dengan menyembah, melayani dan mengikuti Kristus untuk memberitakan Injil kepada semua bangsa. Gereja dipelihara melalui pelayanan Firman, Sakramen, dan pelayanan pastoral. Dalam konteks masyarakat yang majmuk, orang Kristian juga dipanggil untuk keadilan sosial dan membantu manusia yang menderita dengan bekerjasama dengan orang-orang tertentu. Dalam pelayanan menyeluruh seluruh umat Tuhan, baik anggota gereja biasa mahupun yang ditahbiskan memiliki peranan yang berbeza namun saling melengkapi.
- Yesus Kristus adalah Tuhan kepada gereja memanggil kita untuk hidup dalam kasih. Orang Kristian seharusnya berusaha untuk mencapai kesatuan yang bukan sahaja bersifat rohani dan kelihatan agar dunia dapat percayainya.
- Yesus Kristus akan kembali suatu hari nanti sebagai Tuhan dan Hakim yang akan menyatakan pemerintahan kerajaan-Nya secara penuh atas semua ciptaan.
Visi
Melengkapi Umat Tuhan dalam pelayanan dan misi.
Misi
Untuk membantu pastor-pastor dan pemimpin bertumbuh dalam kematangan Kristian dengan melatih mereka untuk pelayanan melalui Gereja.
Objektif
- Untuk melatih pastor dan pelayan Kristian bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat dalam Gereja.
- Untuk membolehkan pelayan Tuhan menjadi lebih efektif dalam kesaksian dan pelayanan mereka.
- Untuk menyediakan latihan yang mengintegrasikan pembentukan rohani, kecemerlangan akademik dan mengembangkan kemahiran dalam pelayanan.
- Untuk menyediakan pendidikan teologi yang relevan dan peka dengan konteks setempat.
Akreditasi
Sejak Oktober 1984, seminari ini telah diakreditasi oleh Association for Theological Education in South East Asia (ATESEA) iaitu, Ijazah Sarjana Muda Teologi (BTh), Ijazah Sarjana Muda Ketuhanan (BD) dan Sarjana Ketuhanan (MDiv). Pada November 1994, STM diterima sebagai institusi yang mengambil bahagian dalam South East Asia Graduate School of Theology (SEAGST) yang turut menawarkan program Sarjana Teologi. Pada tahun 2010, STM telah menjadi ahli ATESEA Theological Union (ATU) yang menawarkan program Doktor Teologi. Pada tahun 2012, Ijazah Sarjana Teologi (MTh) telah pun diakreditasi oleh ATESEA. Dengan ini, ijazah yang dianugerahkan oleh seminari ini diterima di peringkat antarabangsa.