Berlangsung pada 4-5 Ogos di Pacific Sutera Hotel, Kota Kinabalu, Sabah. Dirasmikan oleh Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara. Acara ini dianjurkan bersama oleh pelbagai institusi termasuk IKIM, Brigham Young University, Seminari Theoloji Malaysia (STM), KITA serta Pejabat Mufti Negeri Sabah.
Forum sesi perbincangan meja bulat pada 4 Ogos antara lain telah membincangkan visi pelbagai agama tentang maruah manusia, kesejahteraan masyarakat abad ke-21, serta tindakan konkrit untuk masa depan, dan diteruskan pada hari berikutnya dengan melawat rumah-rumah ibadah dan kebajikan sekitar Kota Kinabalu seperti Pusat Gereja SIB Sabah, Pertubuhan Kebajikan Tzu Chi, Kuil Buddha Puh Toh Si dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
STM melalui Pusat Agama dan Masyarakat, terus berperanan daan komited sebagai platform teologi dan akademik dalam memperkukuh dialog antara agama, mempertahankan keharmonian dan maruah setiap insan.

(Gambar seluruh peserta Simposium bersama Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara)

(Mewakili STM, Mr Eugene Yapp, Dr Tan Ee Yan, Rev. Dr Karthik Sibanyanam, Rev. Jensey Mojuin, Rev. Joseph Yesupatham dan Rev. Dr Albert Sundararaj Walters)

(Gambar bersama para peserta di Pusat Gereja SIB Sabah, Kota Kinabalu)

(Gambar bersama para peserta di Pusat Pertubuhan Kebajikan Tzu Chi, Kota Kinabalu)

(Gambar bersama para peserta di Kuil Buddha Puh Toh Si, Kota Kinabalu)

(Gambar bersama Prof. Dato’ Dr. Mohamed Azam Adil. Director General, IKIM (Nombor 2 dari Kanan) di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu)
Simposium ini berakhir dengan satu kesimpulan penyatuan bertajuk “Maruah Insan dihidupi bersama” oleh Mr. Eugene Yapp yang turut mewakili STM.
Apakah yang dibawa pulang oleh peserta:
Naratif Bersatu: Maruah Insan Dihidupi Bersama.
Simposium menekankan bahawa maruah insan tidak boleh sekadar menjadi idea abstrak, tetapi mesti dihidupi bersama dalam pengalaman harian, hubungan sosial, dan politik.
Kerangka 5 Poin:
- Maruah bukan sekadar idea, ia mesti dihidupi. Maruah insan perlu dizahirkan dalam kehidupan seharian, politik, dan hubungan sosial. Jika tidak memberi kesan nyata, ia tidak bermakna.
- Maruah sebagai asas kesejahteraan insan. Maruah mesti dibina atas nilai belas kasihan, rahmah, kasih sayang, mahabbah, dan penerimaan. Setiap tradisi agama mempunyai bahasa tersendiri untuk menggambarkan proses ini.
- Maruah mesti dinyatakan secara spesifik dan positif. Wacana tidak boleh hanya bersifat negatif (menentang berat sebelah, prejudis, stereotaip), tetapi juga mesti menunjukkan secara positif apa yang dibina oleh maruah insan.
- Daripada simbolik kepada substantif. Maruah insan di Malaysia masih banyak bersifat simbolik. Perlu bergerak ke tahap substantif menuju pemulihan, keadilan sosial, menangani kemiskinan, diskriminasi agama, dan isu pelarian.
- Kerjasama praktikal sebagai ekosistem gotong‑royong. Usaha mesti melampaui projek kecil, menuju kepada budaya kolaborasi merentas agama, etnik, dan kelas. Gotong‑royong sebagai DNA Asia Tenggara perlu dijadikan asas ekosistem kerjasama.
Langkah Susulan
- Membangunkan Petunjuk Prestasi Utama keterlibatan multi‑agama supaya kerjasama dapat diukur secara konkrit.
- Meluaskan kesejahteraan kepada alam ciptaan iaitu menjaga tumbuhan, haiwan, dan alam sebagai amanah Ilahi.
- Menggerakkan projek nyata melalui NGO, institusi agama, dan komuniti, bukan sekadar kajian teks.
Cabaran Utama
Asas naratif telah jelas, maruah insan sebagai landasan kesejahteraan. Cabaran kini ialah memastikan ia diterjemahkan kepada cerita, motivasi, dan projek substantif yang membina ekosistem kolaborasi bersama.
Kesimpulan ini menjadi cabaran dan panduan untuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung bergerak bersama membina ekosistem kolaborasi yang lebih inklusif, iaitu membina sistem kerjasama yang terbuka, menyeluruh, dan tidak meninggalkan mana‑mana pihak, supaya setiap komuniti dapat bersama‑sama menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, agar maruah insan benar‑benar menjadi asas kepada kesejahteraan masyarakat Malaysia.

